Terjemahan dengan ihsan EQHO

MT Post-editing Guidelines


ON SLIDE SHAREON ScribdDOWNLOAD IN PDF
ENGLISH | BAHASA INDONESIA | DANISHGERMAN | ESPAÑOL | FRANÇAIS | ITALIANO | 日本語 | 한국말 | NORWEGIANPORTUGUÊS DO BRASIL | SWEDISHภาษา ไทย | Tiếng Việt

TAUS GuidelinesTujuan dan Skop

Garis panduan ini bertujuan membantu pelanggan dan penyedia perkhidmatan menetapkan harapan yang jelas. Ia juga boleh digunakan sebagai asas untuk memberikan arahan kepada pascapenyunting.

Garis panduan pascasuntingan setiap syarikat kemungkinan berbeza bergantung pada julat parameter. Penyediaan satu set garis panduan yang akan merangkumi kesemua senario adalah tidak praktikal. Kami menjangka bahawa organisasi akan menggunakan garis panduan asas ini dan menyesuaikannya mengikut keperluan untuk tujuannya yang tersendiri. Pada umumnya, garis panduan ini mengandaikan pascasuntingan dwibahasa (bukannya ekabahasa) yang dilakukan oleh penterjemah berbayar secara idealnya tetapi itu mungkin dilakukan oleh pakar atau sukarelawan domain dwibahasa dalam sesetengah senario. Garis panduan tersebut bukanlah khusus sistem atau bahasa.

 

Pengesyoran

Untuk mengurangkan tahap pascasuntingan yang diperlukan (tidak kira pasangan bahasa, arah, jenis sistem atau domain), kami mengesyorkan perkara berikut:

  • Sesuaikan sistem anda dengan sewajarnya, iaitu pastikan pengekodan bahasa dan kamus tahap tinggi untuk sistem RBMT atau latihan menggunakan data khusus domain yang bersih dan berkualiti tinggi untuk sistem dipacu data atau hibrid.
  • Pastikan teks sumber ditulis dengan baik (iaitu ejaan yang betul, tanda baca yang betul, jelas) dan, jika boleh, sesuaikan untuk terjemahan oleh MT (iaitu menggunakan peraturan pengarangan khusus yang sesuai dengan sistem MT yang dipersoalkan itu).
  • Gabungkan pengurusan istilah yang merangkumi sistem pengarangan teks sumber, MT dan TM.
  • Latih pascapenyunting terlebih dahulu.
  • Semak kualiti output mentah MT sebelum berunding tentang daya pemprosesan dan harga serta tetapkan jangkaan yang munasabah.
  • Bersetuju dengan definisi untuk kualiti akhir maklumat yang akan dipascasunting berdasarkan jenis pengguna dan tahap penerimaan.
  • Bayar pascapenyunting untuk memberikan maklum balas berstruktur tentang kesilapan MT yang biasa (dan, jika perlu, bimbing mereka dalam cara melakukan ini) supaya sistem dapat diperbaiki melalui masa.

Garis Panduan Pascasuntingan

Dengan mengandaikan pengesyoran di atas telah dilaksanakan, kami mencadangkan beberapa garis panduan asas untuk pascasuntingan. Usaha yang terlibat dalam pascasuntingan akan ditentukan oleh dua kriteria utama:

  • Kualiti output mentah MT.
  • Kualiti akhir kandungan yang dijangkakan.

Untuk memperoleh kualiti yang sama dengan “penterjemahan dan penyemakan manusia berkualiti tinggi” (juga dikenali sebagai “kualiti yang boleh diterbitkan”), pascasuntingan yang lengkap biasanya disyorkan. Untuk standard kualiti yang lebih rendah, kerap dirujuk sebagai “sudah memadai” atau “sesuai dengan tujuan”, sedikit pascasuntingan biasanya disyorkan. Walau bagaimanapun, sedikit pascasuntingan ke atas output MT yang betul-betul lemah mungkin tidak akan menghasilkan output yang memenuhi standard kualiti yang boleh diterbitkan. Sebaliknya, jika output mentah MT berkualiti baik, maka kemungkinannya hanya sedikit pascasuntingan dan bukannya pascasuntingan yang lengkap diperlukan untuk mencapai kualiti yang boleh diterbitkan. Jadi, daripada membezakan antara garis panduan untuk sedikit pascasuntingan dengan pascasuntingan yang lengkap, di sini kami akan membezakan antara dua tahap kualiti yang dijangkakan. Tahap lain boleh ditentukan tetapi kami akan menggunakan hanya dua di sini untuk memudahkannya. Set garis panduan yang dicadangkan di bawah dikonsepsikan sebagai satu kumpulan garis panduan di mana garis panduan berasingan boleh dipilih, bergantung pada keperluan pelanggan dan kualiti mentah MT.

Garis panduan untuk mencapai kualiti “sudah memadai”

“Sudah memadai” ditakrifkan sebagai dapat difahami (iaitu anda dapat memahami kandungan utama mesej tersebut), tepat (iaitu ia menyampaikan makna yang sama dengan teks sumber) tetapi tidak menarik dari segi gaya. Teks itu mungkin kelihatan seperti dihasilkan oleh komputer, sintaksisnya mungkin agak aneh, tatabahasanya mungkin tidak sempurna tetapi mesejnya adalah tepat.

  • Cuba capai terjemahan yang betul dari segi makna.
  • Pastikan bahawa tiada maklumat ditambah atau ditinggalkan secara tidak sengaja.
  • Sunting mana-mana kandungan yang menghina, tidak sesuai atau tidak boleh diterima dari segi budaya.
  • Gunakan seberapa banyak output mentah MT yang mungkin.
  • Peraturan asas berkenaan dengan ejaan digunakan.
  • Tidak perlu melakukan pembetulan yang bersifat dari segi gaya sahaja.
  • Tidak perlu menyusun semula ayat semata-mata untuk memperbaiki aliran biasa teks.

Garis panduan untuk mencapai kualiti yang sama atau setaraf dengan penterjemahan manusia:

Tahap kualiti ini biasanya ditakrifkan sebagai dapat difahami (iaitu pengguna akhir memahami kandungan mesej tersebut dengan sempurna), tepat (iaitu ia menyampaikan makna yang sama dengan teks sumber), baik dari segi gaya, walaupun gayanya tidaklah sebaik yang dicapai menggunakan penterjemah manusia penutur asli. Sintaksisnya normal, tatabahasa dan tanda bacanya betul.

  • Cuba capai terjemahan yang betul dari segi tatabahasa, sintaksis dan makna.
  • Pastikan bahawa istilah utama diterjemahkan dengan betul dan istilah yang tidak diterjemahkan tergolong dalam senarai “Jangan Terjemahkan” pelanggan.
  • Pastikan bahawa tiada maklumat ditambah atau ditinggalkan secara tidak sengaja.
  • Sunting mana-mana kandungan yang menghina, tidak sesuai atau tidak boleh diterima dari segi budaya.
  • Gunakan seberapa banyak output mentah MT yang mungkin.
  • Peraturan asas berkenaan dengan ejaan, tanda baca dan tanda sempang digunakan.
  • Pastikan bahawa pemformatan adalah betul.

Terima kasih kepada semua orang yang telah membantu menyediakan garis panduan ini. Kami sangat bertuah kerana menerima bantuan daripada Ahli TAUS, institusi kerajaan dan organisasi penterjemah. Maklumat terperinci tentang pasukan projek dan proses yang menghasilkan garis panduan ini boleh didapati di sini.

Terima kasih khususnya kepada Sharon O'Brien, Universiti Dublin City, dan Fred Hollowood, Symantec dan Lembaga Penasihat TAUS atas dedikasi dan sokongan mereka dalam penyediaan garis panduan ini.

 

Best Practices Search